Sudah lama saya tak bercerita mengenai sains. Kali ini mari saya berkongsi satu fakta menarik mengenai kucing!
Saya memang seorang penggemar kucing. Dari zaman kanak-kanak lagi, pasti tidak dapat beralah dari kucing! Apakan daya, gaya hidup seperti keluarga nomad dahulu tidak mengizinkan saya untuk memelihara kucing.Di sini juga, ramai sahabat-sahabat yang memelihara kucing. Saya juga ingin, namun saiz bilik yang memuatkan 2 orang manusia sahaja sudah cukup sendat, usah kepingin hendak menambah satu lagi hidupan di dalam bilik ini. Menzalimi kucing itu sahaja.
InshaAllah, tahun depan, bila sudah dapat bilik yang lebih besar, saya akan cuba memelihara kucing pula. Itu pun, bergantung kepada roomate saya lah nanti!
Ok, terlebih dahulu, fakta mengenai kucing. Di satu bahagian nanti baru saya akan kupas mengenai kucing dalam perspektif Islam.
Tahukah anda,
- Sekiranya seekor kucing mempunyai bulu 3 warna, 99.97% pasti bahawa kucing tersebut adalah betina!
- Dan walaupun sekiranya ia jantan (0.03%), maka 99.99% pasti bahawa ianya adalah mandul!
- Justeru, jika anda mempunyai kucing jantan 3 warna yang jantannya tulen dan sejati, itulah kucing paling bernilai di dunia ini!
Jom tengok penjelasan sains!
Kucing, ataupun kita manusia, ataupun apa-apa jua hidupan di dunia ini, adalah terbina dari susunan-susunan juzuk DNA dalam diri masing-masing. DNA adalah dianalogikan seperti blueprint, yang mengandungi arahan, maklumat, kod-kod, rahsia-rahsia dan sebagainya yang menentukan sesuatu organisma individu tersebut. Rahsia DNA manusia masih belum dibongkar sepenuhnya lagi, terdapat berbillion-billion kod-kod tertentu yang menentukan setiap aspek ciri dalam diri kita. Malah, terdapat teori, yang jangkahayat manusia turut ter-enkripsi dalam DNA kita!
DNA yang telah disusun, dipanggil kromosom. Kromosom adalah set DNA terdapat di dalam sesebuah sel organisma. Bilangan kromosom adalah berbeza-beza mengikut organisma. Manusia, contohnya, mempunyai 46 kromosom dalam bentuk berpasangan (23 pasangan). Satu kromosom berpasangan tersebut berasal dari ayah, manakala satu lagi berasal dari ibu. Setiap kromosom mempunyai antara 1000-5000 genes. Gene adalah jujukan beberapa DNA yang menentukan satu ciri dalam badan kita. Satu gene, boleh dibentuk sehingga menjangkaui 50,000 molekul DNA! Maka, bayangkanlah betapa banyak molekul DNA yang membentuk diri kita!
Dalam setiap organisma berjantina, terdapat 2 kromosom khas iaitu Kromosom X dan Kromosom Y. Seperti yang saya katakan, kromosom adalah dalam bentuk berpasangan. Pasangan antara X dan Y menentukan jantina kita. Sekiranya seseorang mempunyai kromosom XX, maka ia adalah perempuan. Dan jika XY, maka ianya adalah lelaki.
“Maha suci Allah yang menciptakan berpasang-pasangan semuanya, di antara apa-apa yang ditumbuhkan dan dari diri mereka sendiri dan dari apa-apa yang tidak mereka ketahui”.
(Surah Yaasin: 36)
Untuk dipendekkan cerita, kita pergi pada kucing terus. Salah satu ciri yang dikawal oleh DNA kucing, adalah warna bulu kucing, dan ciri ini ditentukan oleh kromosom X. Secara umumnya, terdapat 3 jenis warna kucing yang dikawal oleh allel dalam kromosom X, iaitu warna cerah/oren (XO), warna gelap/perang (Xo). Allel adalah ciri-ciri yg disandarkan pada sepasang gene dalam kromosom.
Analoginya sebegini. Warna asal kucing adalah putih (tiada warna).XO adalah “cat” berwarna cerah(oren). Xo pula adalah “cat” berwarna gelap(hitam/perang). Maka campuran ketiga-tiga inilah yang menjadikan kucing mempunyai 3 warna!
Maka bagi kucing yang mempunyai 3 warna, atau turut dikenali sebagai “calico” @ “tortoiseshell cats”, kucing ini mempunyai kedua-dua jenis allel iaitu XO, Xo yang di-ekspressikan secara serentak. Untuk kucing mempunyai kedua-dua allel tersebut, kucing tersebut mestilah mempunyai dua kromosom X! Dan hanya kucing betina yang ada 2 kromosom X, iaitu XX!
Kucing Jantan 3 Warna?
Bagaimana pula dengan 0.03% kucing jantan yang berbulu 3 warna itu? Dari mana datangnya?
Seperti manusia, kucing juga mengalami satu masalah genetik yang dipanggil Kleinfelter’s Syndrome. Klinefelter Syndrome berlaku apabila kromosom yang menentukan jantina seseorang (seseekor?), yang sepatutnya berpasangan, menjadi tiga iaitu lebih satu kromosom X.
Seperti yang kita ketahui, kromosom jantina lelaki/jantan adalah XY. Manakala perempuan/betina pula, adalah XX. Tapi dalam Kleinfelter Syndrome, kromosom jantina yang dimiliki adalah XXY. Dari segi penampilan luaran, organisma XXY ini adalah lelaki/jantan (kerana kehadiran kromosom Y), tetapi adalah mandul (infertile)! Justeru, kucing jantan yang mempunyai 3 warna (kerana ada 2 kromosom X yang menentukan warna), pasti mengidap Klinefelter Syndrome dan justeru itu, mandul!
Bagaimana pula sekiranya anda mempunyai kucing jantan, 3 warna, tetapi “gagah perkasa kejantanannya”? Hehe.
Kucing Chimera?
Maka inilah kejadian tuhan yang sangat-sangat istimewa, iaitu dipanggil Chimera. Chimera adalah satu fenomena yang sangat-sangat jarang terjadi, iaitu 2 zygote disenyawakan secara serentak, malah bergabung menjadi satu embryo ketika proses pembentukan di dalam uterus ibu!
Fenomena 2 zygote disenyawakan serentak adalah relatifnya biasa. Contoh paling mudah, kembar tidak seiras. Kembar tidak seiras adalah terbentuk sekiranya dua ovum disenyawakan oleh 2 sperma, membentuk 2 zygote. Dua zygote ini mungkin mempunyai jantina yang sama ataupun berbeza, ciri-ciri yang sama ataupun berbeza.
Jadi, apa itu chimera? Bayangkan, 2 zygote kembar tidak seiras ini, mempunyai jantina yang sama, bergabung ketika proses tumbesaran dalam uterus, menjadi satu! Chimera tersangatlah jarang terjadi, hanya 40 kes yang pernah dilaporkan dan direkodkan sepanjang jangka hayat kehidupan umat manusia.
Begitulah juga dengan kucing chimera. Asalnya dari 2 zygote yang sama jantina tetapi berlainan warna, kemudiannya bergabung dan dilahirkan menjadi seekor kucing – jantan sejati tetapi 3 warna. SubhanAllah!
“Dan Dialah yang menjadikan bumi terbentang luas dan menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir) dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan, Dia jadikan padanya pasangan: Dua-dua. Dia juga melindungi siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu) berfikir.
[13:3]
Kucing dan Islam!
Islam itu syumul (lengkap), hinggakan panduan untuk berinteraksi dengan haiwan pun ada! Ya, sungguhpun tidak dinyatakan dengan jelas di dalam alQuran, tetapi banyak sangat peristiwa-peristiwa di zaman Rasulullah S.A.W mengenai haiwan, yang menjadi panduan kepada kita. Bukankah baginda itu sebaik-baik role model?
Menyayangi haiwan, adalah sunnah Rasulullah. Islam sangat-sangat mengajar umatnya untuk mengasihani haiwan, terutamanya yang jinak seperti kucing. Namun, janganlah terlalu menyayangi haiwan sehingga mengatasi kasih sayang sesama muslim tidak kira agama atau bangsa pula!
Kalau kita tengok, negara-negara maju seperti di kawasan Eropah mahupun di sebelah timur (Korea dan Jepun), keprihatinan terhadap haiwan amat dititikberatkan. Pusat-pusat pemeliharaan (adoption center), persatuan-persatuan membela nasib haiwan dan sebagainya ditubuhkan, dalam usaha memanifestasikan kasih sayang terhadap haiwan.
Barat mendakwa, seorang individu bernama Richard Martin adalah orang pertama di dunia yang membela haiwan, ketika dia menubuhkan Persatuan Anti-Kezaliman Haiwan pada tahun 1824. Tetapi mereka tidak tahu, jauh lebih lama dari itu, hampir 1500 tahun dahulu, Rasulullah telah terlebih dahulu mensyariatkan umat Islam untuk berlaku baik terhadap haiwan! Nak tahu kisahnya?
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, sesungguhnya Rasulullah pernah besabda:
“Seorang pelacur dari Bani Israel diampun dosanya oleh Allah dan dimasuknya ke syurga kerana ia bersimpati dengan seekor anjing yang kehausan air, lalu ia turun ke dalam telaga dan mengangkut air dengan kasutnya untuk diberi minum kepada anjing itu.”
Subhanallah! Alangkah mulianya berbakti kepada haiwan, sehinggakan dosa yang begitu berat pun boleh diampunkan! Banyak aspek kita boleh lihat pada hadis ini. Pertamanya, wanita tersebut adalah pelaku dosa besar, iaitu berzina (pelacuran). Namun, bukan itu yang diambilkira, sebaliknya keikhlasan wanita tersebut. Wanita tersebut bersimpati dengan seekor anjing! Walaupun anjing merupakan binatang najis mughallazah, tetapi ia tidak bermaksud kita perlu memandang jijik terhadap binatang tersebut. Wanita tersebut tetap sudi membantu anjing tersebut! Itu keikhlasan yang pertama. Yang keduanya, “ia turun ke dalam telaga dan mengangkut air dengan kasutnya”! Ini menunjukkan, betapa nekad wanita tersebut untuk membantu si anjing yang kehausan. Jelaslah keikhlasan dan ikhtiar yang dilakukan wanita ini, yang datang dari hati yang suci, itulah yang menjadi sebab kepada pengampunan dosa beliau.
Dalam sebuah hadis yang lain pula, diriwayatkan oleh Ibnu Umar, Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:
“Seorang wanita masuk Neraka kerana seekor kucing yang diikatnya. Dia tidak memberinya makan dan tidak membiarkannya makan serangga bumi.”
Satu lagi kisah mengenai haiwan, iaitu kucing. Seorang wanita yang menzalimi kucing. Dia mengikat kucing tersebut, malah tidak memberi makan, dan tak bagi pula kucing tersebut cari makanan. Ini menunjukkan betapa keji dan kerasnya hati wanita ini. Dan neraka jualah tempat akhirnya.
Sampingan: Kalau kita tengok kedua-dua hadis ini, kedua-duanya menunjukkan subjek yang sama, iaitu perempuan. Ini menunjukkan yang wanita mempunyai emosi terhadap haiwan, sama ada menyayangi, mahupun membenci. Kerana sayang dan benci itu berasal dari emosi. Kalau lelaki, mungkin hati kering sedikit. Tapi dengan wanita, emosi boleh menjadi kunci untuk ke syurga, mahupun ke neraka! Justeru, jadilah wanita yang pandai mengawal emosi!
Maka kita boleh lihat sendiri, betapa besarnya kelebihan menyayangi haiwan! Rasulullah tidak menyuruh kita bela haiwan tersebut smpai gemuk beranak pinak dan sebagainya, tetapi cukuplah sekadar mengasihani dan tidak menzalimi mereka.