Alhamdulillah, saya diberi ruang dan peluang oleh Allah untuk menyambung siri kedua dalam bahagian “Pesan Nabi Kepada Para Doktor ini. Seperti dalam post sebelum ini, artikel ini dipetik dari:
* Diolah dari kitab At-Tibbun Nabawi – Bab 47: Petunjuk Nabi Dalam Mengemukakan Saman Ke Atas Pengamal Perubatan Yang Tidak Professional karangan Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziah, melalui buku terjemahan Abu Mazaya Al-Hafiz semakan Ustazah Sabariah Bakri, “Rawatan Penyakit Dan Tips Menjaga Kesihatan Cara Rasulullah s.a.w” terbitan Al-Hidayah cetakan 2008.
Diriwayatkan oleh Abu Daud, An-Nasa’i dan Ibnu Majah dari hadith Amru bin Syu’aib, daripada ayahnya, daripada datuknya bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
“Barangsiapa yang berusaha melakukan tugas perubatan, sedangkan sebelumnya ia belum mempelajari ilmu perubatan, maka ia bertanggungjawab terhadap sebarang (kesan) yang dihasilkannya. (Hadith ini dikeluarkan oleh al-Hakim)
Seterusnya untuk menyambung perbincangan, artikel ini akan memfokuskan kepada bahagian fiqh/syariat, iaitu mengenai hukum-hukum.
Adapun merujuk kepada hadis di atas, persoalan syariat adalah kewajipan memberi jaminan dari pihak tenaga perubatan yang tidak pakar, sekiranya ia berusaha untuk tekun dalam bidang perubatan, sedangkan sebelumnya ia belum memiliki pengetahuan tentang pengubatan yang memadai. Pendek kata, persoalan yang dibincangkan adalah bolehkah seorang doktor yang tidak pakar, melakukan praktis perubatan. Kerana kejahilannya itu ia boleh membahayakan nyawa orang ramai, kerana secara berani ia melakukan perbuatan tanpa ilmu. Ia juga disifatkan sebagai menipu pesakit, sehingga ia wajib (sanggup) memberi jaminan atau dipertanggungjawabkan ke atas perbuatannya itu. Ini adalah pendapat yang disepakati ulama’.
Al-Khattabi berkata, “Saya tidak mengetahui adanya perbezaan pendapat bahawa seorang tenaga perubatan telah melakukan kecuaian yang menyebabkan kematian pesakit, maka ia bertanggungjawab.”
“Doktor yang mempraktikkan sesuatu ilmu, atau melakukan tindakan perubatan yang tidak diketahuinya, jika disebabkan perbuatannya itu menjadi punca pesakit meninggal dunia, maka ia hanya wajib membayar denda, iaitu tidak harus wajib bertanggungjawab misalnya dengan qisas. (Ini kerana) ia melakukan tugasnya dengan izin pesakit. Bahkan tindakan salahnya itu mengikut majoriti ulama’ fiqh adalah menjadi tanggungjawab walinya.
Kita akan kupas dengan lebih teliti mengenai hukum ini. Sebelum itu, siapa yang dimaksudkan dengan tenaga perubatan?
Tenaga Perubatan?
Menurut Ibn Qayyim, tenaga perubatan yang dimaksudkan dalam hadis di atas merangkumi orang yang melakukan perubatan dengan memberikan resepi (preskripsi) atau sekadar memberi petunjuk pengubatan, iaitu yang biasa disebut sebagai tabib.
Bila ia mahir dalam perubatan mata, ia dipanggil kahhal (pakar mata). Kalau ia mahir dalam bidang pembedahan disebut jara’ihi (pakar bedah). Kalau ia ahli dalam bidang khitan-mengkhitan, ia disebut khatin (orang yg mengkhitan = tok mudim). Kalau ia pakar dalam bidang pengubatan melalui kaedah mengeluarkan darah dari lubang hidung dan sejenisnya, maka disebut fadhid (rhinoscopy = ENT?). Sedangkan yang ahli dalam bidang pembekaman disebut hajjam (tukang bekam). Yang ahli dalam bidang balut membalut, menjahit luka dan menyambung bahagian tubuh yang koyak disebut sebagai mujabbir. Yang ahli dalam bidang pengubatan dengan besi panas dan api dikenal sebagai kawwa. Yang ahli dalam bidang suntik-menyuntik disebut haqin (tukang suntik).
Semua yang tersebut di atas, adalah termasuk sebagai tenaga perubatan. Justeru, dalam zaman moden sekarang ini, tenaga perubatan merangkumi semua yang terlibat dengan pesakit, seperti jururawat, pembantu perubatan, physiologist, radiologist, lab assistant dsb.
Pembahagian Tenaga Perubatan
Menurut Ibnu Qayyim, dalam membincangkan mengenai feqh/hukum, terdapat 5 golongan tenaga perubatan. Yang pertama, Golongan tenaga perubatan yang ahli atau pakar, dan memiliki kelayakan di bidang perubatan, yang selama ini belum pernah gagal dalam praktik perubatannya. Namun dengan takdir Allah dan juga kerana faktor daripada yang diubati (penyakit/pesakit), sebaik sahaja ia melakukan praktik rawatan maka terjadilah kecederaan dengan hilangnya anggota badan atau bahkan meninggal, atau setidak-tidaknya hilang fungsi organ yang berkenaan.
Dalam kes ini, tenaga perubatan tersebut tidak dikenakan tanggungjawab berdasarkan kesepakatan para ulama’. Kerana hal itu terjadi semata-mata kerana takdir Allah sahaja.
Contoh yang diberi oleh Ibnu Qayyim adalah seorang anak kecil yang dikhitan, dan umurnya memang sudah layak untuk dikhitan, dan pada masa yang sama pihak perubatan juga telah memiliki kepakaran di dalam bidang tersebut. Namun anggota tubuh anak kecil tersebut rosak atau bahkan mati. Pada ketika itu, si doktor tidak dikenakan tanggungjawab.
Begitu juga contohnya ada orang yang harus dipotong organ tubuhnya. Lalu proses pembedahan dilakukan sesuau dengan prosedur yang ada, namun ternyata gagal dan ia meninggal dunia, maka doktor tersebut juga tidak bertanggungjawab.
Namun, terdapat ulama-ulama yang berselisih pendapat dalam hal ini. Kaedah dalam persoalan ini, sama ada yang telah disepakati ulama dan yang masih diperdebatkan adalah bahawa – satu insiden daripada akibat tindakan jenayah jelas ada pertanggungjawaban mengikut kesepakatan ulama’. Sedangkan kecederaan akibat perbuatan yang sepatutnya dilakukan, maka tidak ada pertanggungjawabannya mengikut kesepakatan ulama. Antara dua perkara tersebut lah wujudnya perbezaan pendapat.
Abu Hanifah, contohnya, mewajibkan adanya pertanggungjawaban secara mutlak. Beliau menggunakan hujah bahawa adanya izin untuk melakukan sesuatu perbuatan adalah kerana adanya jaminan keselamatan.
Manakala Imam Malik dan Imam Ahmad menganggap tidak ada pertanggungjawaban sama sekali. Mereka berpendapat bahawa izin itu sendiri sudah menggugurkan jaminan tersebut.
Saya melihat ini sebagai perbezaan atas pandangan “izin” yg diberi oleh pesakit. Seorang pesakit yang memberi izin kepada doktor untuk melakukan prosedur, adakah bermaksud keizinan itu menjadikan doktor sebagai jaminan/guarantee ke atas keselamatannya , atau keizinan tersebut menandakan kesanggupan untuk menerima apa jua outcome/kesan dari rawatan tersebut. Dan memandangkan tidak ada cara untuk memastikan antara yang pertama dengan kedua tersebut, maka sebab itulah ulama-ulama di atas berbeza pendapat.
Adapun Imam Syafie, memberi perincian – bila kecederaan itu boleh diukur kadarnya, maka tidak perlu pertanggungjawaban. Namun bila tidak dapat diukur, maka mesti ada pertanggungjawaban. Beliau mengibaratkan kecedaraan yang dapat diukur dan tidak boleh dielakkan lagi ibarat sebuah nas atau dalil yang tegas. Adapun yang tidak dapat diukur dan lain-lainnya, maka ianya adalah masalah ijtihadiyyah.
Tenaga Perubatan Yang Kedua
Golongan kedua adalah, tenaga perubatan yang tidak pakar, namun ia memaksa diri untuk melakukan praktik perubatan sehingga menyebabkan kematian.
Dalam hal ini, apabila si mangsa sudah mengetahui bahawa ia tidak memiliki kepakaran tetapi ia mengizinkannya juga untuk melakukan pengubatan, maka ia (tenaga perubatan) itu tidak bertanggungjawab.
Kes ini tidaklah bercanggah dengan pemahaman yang zahir dari hadith di atas. Ini kerana, jalan perbincangannya dalam hadith itu berkaitan dengan penipuan terhadap pesakit sehingga ia menyangka orang tersebut memang tenaga perubatan yang pakar, padahal tidak sedemikian.
Justeru, adalah penting kepada kita atau rakan-rakan tenaga perubatan yang masih dalam pelajaran, untuk memastikan bahawa pesakit kita itu tahu akan status diri kita. Tenaga perubatan yang tidak/masih belum bertauliah, dilarang meninggalkan impressi pada pesakit bahawa tenaga perubatan tersebut adalah bertauliah/pakar. Jika kecederaan yang diakibatkan tersebut berlaku dalam keadaan pesakit menyangka tenaga perubatan itu pakar/bertauliah, maka tenaga perubatan itu bertanggungjawab.
Tenaga Perubatan Yang Ketiga
Golongan yang ketiga adalah, tenaga perubatan pakar yang berlesen, sudah betul-betul memiliki kemampuan. Namun, ia melakukan kesilapan (cuai) dalam menangani organ tubuh yang sihat sehingga menjadi sakit. Contohnya, seorang tenaga perubatan yang kerana cuai tersalah suntik, tersalah potong dsb. Maka dalam kes ini, ia tetap bertanggungjawab, kerana itu termasuk sebagai kecuaian. Hukuman yang dinyatakan oleh Ibnu Qayyim adalah denda (saman) dengan sepertiga hartanya. (“sepertiga hartanya” merujuk kepada harta mangsa atau harta si-pesalah tersebut? Mohon sesiapa yang ada matan asal arabnya dan mahir dalam bidang lughah boleh tolong perjelaskan).
Apabila ia didenda dengan sepertiga hartanya, maka menjadi tanggungan walinya. Dalam hal ini, saya berpendapat wali tersebut mungkin bermaksud orang yang mempunyai authoriti ke atas tenaga perubatan itu, contohnya doktor pakar, ketua jabatan hospital, ataupun mungkin juga wali itu bermaksud wali nasab seperti dalam bab munakahat. Saya lebih cenderung pendapat yang pertama itu, justeru mohon perbetulkan kalau silap.
Namun kalau ia tidak mempunyai wali (doktor bekerja sendiri/swasta/klinik sendiri, contohnya), adakah ia menjadi tanggungan BaitulMal (atau kerajaan, dalam situasi kini)? Ada dua pendapat dalam perkara ini, yang kedua-duanya diriwayatkan daripada Imam Ahmad. Ada yang berpendapat bahawa apabila doktor tersebut adalah kafir zimmi, maka diambil dari hartanya sendiri. Apabila ia doktor Muslim, baru ada dua pendapat dalam hal itu (sama ada tanggungan Baitulmal atau tidak).
Jika tidak menjadi tanggunan BaitulMal, atau tidak ada dari Baitulmal, atau sebab susah untuk membawa wang tunai tersebut dari Baitulmal, (kerajaan tidak ada duit @ enggan membayar, contohnya), adakah diyat (denda) tersebut gugur dengan sendirinya? Atau mesti juga diambil dari pihak yang bersalah? Ada dua pendapat pula dalam hal ini, namun yang lebih terkenal adalah bahawa kewajipan itu gugur.
Tenaga Perubatan Yang Keempat
Golongan tenaga perubatan yang keempat adalah, seorang tenaga perubatan yang pakar dan memiliki kemampuan dalam bidangnya, lalu ia memberikan resepi (preskripsi rawatan) kepada pesakitnya. Namun ia keliru dalam mendiagnosa (mengenalpasti) penyakit pesakit sehingga menyebabkan kematiannya.
Situasi ini saya fahami sebagai kesilapan dalam mendiagnos pesakit. Maksudnya, doktor/tenaga perubatan itu menyangka pesakit mempunyai penyakit A, sedangkan pesakit mempunyai penyakit B. Lalu rawatan diberi untuk penyakit A, lantas menyebabkan kematian pesakit tersebut. Menurut Ibnu Qayyim, ia tidak menyatakan sama ada doktor/tenaga perubatan itu bertanggungjawab atau tidak, namun denda wajib dibayar kepada pesakit/keluarga pesakit tersebut.
Dalam hal ini ada dua riwayat. Pertama, bahawa dendanya dibayar oleh Baitulmal (kerajaan). Yang kedua, dendanya dibayar oleh pihak wali dari tenaga perubatan yang sah. Pendapat ini juga dinyatakan oleh Imam Ahmad, yang mengaitkan kesalahan tersebut dengan kesalahan yang dilakukan oleh imam atau hakim.
Tenaga Perubatan Yang Kelima
Golongan yang kelima pula adalah, seorang tenaga perubatan yang pakar serta memiliki kemampuan dalam bidang harganya, namun ia memberi ketetapan harga (mengenakan bayaran) tanpa persetujuan pesakit atau walinya (sama ada lelaki normal, anak kecil, atau orang gila), lalu terjadi kecederaan. Dalam kes ini, sebahagian kawan Ibnu Qayyim menyatakan, “Maka ia bertanggungjawab. Kerana hal itu terjadi menerusi proses rawatan yang tidak dipersetujui oleh pesakit.”
Tetapi kalau perkara tersebut mendapat persetujuan pesakit yang telah baligh, wali kepada anak kecil atau orang gila tersebut, maka si doktor tidak bertanggungjawab.
Ada juga kemungkinan bahawa pihak tenaga perubatan tidak bertanggungjawab sama sekali kerana ia melakukan pengubatan tersebut dengan sukarela. (Saya sebenarnya keliru, adakah yg dimaksudkan golongan ini doktor yang berkhidmat secara sukarela (tidak mengambil wang dari pesakit, doktor kerajaan contohnya), atau doktor yang mengenakan bayaran kepada pesakit (doktor swasta, contohnya)). Sesungguhnya tidak ada hak untuk menyalahkan orang yang melakukan sesuatu dengan sukarela. Demikian juga kalau pihak tenaga perubatan melakukan kekeliruan disebabkan sikap ambil mudah atau cuai, maka izin daripada wali sama sekali tidak menggugurkan tanggungjawapnya. Kalau tidak kerana kecuaian, maka sama sekali tidak ada hak untuk memintanya bertanggungjawab.
Kalau ada yang berpendapat bahawa kalau pesakit sudah memberi keizinan, maka kecederaan tersebut dianggap cuai. Maka ketahuilah kalau dengan izin pesakit, maka tidak disifatkan suatu kecuaian. Penulis (Ibnu Qayyim) berpendapat, “Kecuaian atau tidak sebenarnya terpulang kepada bentuk perbuatannya, sehingga tidak ada pengaruhnya (faktor-faktor) apakah diizinkan atau tidak. Perkara ini perlu satu kajian yang mendalam.”
Sekian dahulu untuk kali ini, saya rasa. Nantikan dalam sekuel seterusnya – Apakah 20 perkara yang perlu diambilkira oleh seorang pakar perubatan dalam proses rawatan seorang pesakit. Saya mengalu-alukan sebarang komen yang mengulas, menambah atau memperbetulkan artikel ini. Sekian, wassalam.