Hari ini tiba-tiba saya rasa bersemangat pula untuk menjamu selera di restoran makanan Jepun terkemuka Malaysia, SushiKing. Tambahan pula, secara kebetulan memang kebiasaan saya menyambut hari-hari istimewa secara bersendirian, maka lantas saya membonceng motor ke SushiKing yang terdekat di rumah saya.
Makanan Jepun memang menjadi kesukaan saya. Setelah jemu lidah dan tekak dibasahi makanan Malaysia yang pelbagai, masakan Melayu yang bersantan, masakan mamak yang berempah, maka makanan Jepun merupakan pilihan yang terbaik untuk “mencuci tekak”. Ini kerana makanan Jepun tidak terlalu sarat dengan rasa, malah mempunyai rasa “umami” yang kaya, yang sukar dijumpai dalam masakan-masakan lain.
Maka saya pun berkunjung lah ke SushiKing ini. Sebaik sahaja melangkah masuk, saya disapa dari jauh dengan “Irashaimasu!” (Selamat Datang) oleh salah seorang pekerjanya, seorang gadis Muslim bertudung. Melihat saya datang bersendirian, saya lantas dipersilakan duduk di satu sudut.
Layout yang tipikal bagi sebuah restoran Jepun, tentulah sekali dengan adanya deretan sushi-sushi yang bergerak di atas conveyor di tengah-tengah restoran. Ini memudahkan para pelanggan memilih sushi kegemaran. Setiap sushi pula diletakkan di atas piring berwarna, menandakan harganya. Biru untuk RM2, ungu untuk RM6 dan lain-lain.
Saya melihat sekali imbas suasana di dalam restoran ini. Rata-rata pekerjanya Melayu. Baik tukang chef di tengah yang sibuk mengepal-ngepal sushi, hinggalah ke pekerja biasa yang mengemaskan piring pinggan pelanggan. Pengunjung yang ada pula, rata-ratanya berbangsa Cina. Malah, saya rasa saya seorang sahaja pelanggan Melayu pada ketika itu. -_-”
Gadis bertudung tadi datang menghampiri, ingin meminta pesanan.
“Encik nak minum apa?”
“Bagi saya Green Tea panas satu.”
“Makan, encik? Sekarang kita ada promotion, Unagi Time.”
“Unagi? Tapi dalam unagi ada mirin*, kan?”
“Err..ye kot. Unagi kat sini dah di-pack dan di-import. Ramai je Melayu yang makan.”
“Cik, maka jadi tanggungjawab cik lah untuk bagitau pelanggan-pelanggan Melayu tu, yang kita orang melayu tak boleh makan unagi kat sini sebab dah bercampur mirin.”
Dia terdiam. Saya menyambung pesanan.
“Em, bagi saya set meal Sakana Black Pepper lah.” Setelah itu lantas dia berlalu pergi,
Beberapa minit kemudian, set makanan saya tiba. Simple sahaja, seekor ikan dory digoreng bersama sos lada hitam, bersama-sama sayur kobis/karot goreng dan nasi semangkuk. Simple namun menyelerakan, ditambah pula dengan makanan Jepun kesukaan saya, Miso Shiro. Selesai makan, saya lantas membuka Macbook lalu menaip post ini. =)
Teringat saya akan sebuah perbincangan di laman I Luv Islam yang saya sertai suatu ketika dahulu. Ketika itu, membincangkan mengenai status kehalalan di SushiKing. Ramai yang berpendapat secara umum, SushiKing adalah halal kerana makanannya berasaskan hidupan lautan.
Sushi pula, biasanya terdiri daripada 3 bahagian. Nasinya, iaitu daripada beras pulut yang melekit, serta filling yang biasanya ikan. Kedua-duanya diikat oleh nori, iaitu sejenis rumpai laut.
Namun ramai di antara kita yang tidak menyedari, akan kewujudan satu lagi bahan terkenal dalam masakan jepun, iaitu “Sake”. Sake adalah sejenis arak yang diperbuat daripada beras. Mirin, merupakan antara jenis-jenis sake yang biasa digunakan dalam pembuatan sushi.
Saya tidak berhasrat untuk mengulas status penggunaan arak atau alkohol dalam masakan, kerana saya bukanlah ahli dalam bab-bab tersebut. Terdapat pelbagai perbahasan ulama mengenai isu ini, ada yang mengatakan harus kerana bahan tersebut telah ter-istihala (berubah sifat), dan ada juga yang mengatakan kekal haram kerana arak, biarpun hanya setitik, tetap haram.
Sebuah email yang dipostkan dalam perbincangan tersebut, menarik perhatian saya. Secara umumnya, email tersebut merupakan balasan dari SushiKing kepada sebuah email yang dihantar oleh pelanggan yang prihatin akan status kehalalannya. Ini jawaban dari SushiKing:From: Marilyn <marketing1@sushi-king.com>
Subject: Re: Sushi King Online Feedback/Enquiries
To: XXXXXX @ yahoo.com
Cc: “Ms Law” <hclaw@sushi-king.com>, “Ms SK Tan” <sktan@sushi-king.com>, “Susan Yee” <susanyee@sushi-king.com>, “Yvonne Tan” <yvonnetan@sushi-king.com>, “Masahiro Watsuji” <hqopr1@sushi-king.com>
Date: Wednesday, January 7, 2009, 2:34 AM
Hi Aveleena,
Thank you for your email. For your information, we do not have certification from JAKIM for being HALAL so we only can claim us as Pork free.
All our meat based products like chicken and beef are Halal Certified and we do not use any pork or pork derivatives in our restaurant.
Only a few of our food contains ‘Mirin’ that is our Ikura, Mamakari, Unagi, Karei Nitsuke Set, and Saba Misoni Set.
May you have a great day ahead!
Warmest regards,
Marilyn Lim
Marketing Department
Sushi Kin Sdn. Bhd.
Tel: 03-56319060 Ext: 283
Saya memberikan kebebasan kepada para pembaca, untuk menilai sama ada ingin mempercayai email tersebut atau tidak. Secara peribadi, saya mengambil pendirian mengelakkan makanan-makanan yang dinyatakan tersebut. InshaAllah, seperti kata Rasulullah dalam hadis keenam dari hadis arbain himpunan An-Nawawi, barangsiapa yang menjaga dari yang syubhah, sesungguhnya dia telah menjaga dirinya dan agamanya. Begitu juga kepada yang berpendirian untuk mengelakkan dari berkunjung ke restoran sebegini secara terus.
Alhamdulillah, sudah kenyang~